Saturday, July 30, 2011

Bola sepak negara kembali hangat



PERLAWANAN pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 antara Malaysia dengan Singapura menyaksikan satu situasi yang sudah lama tidak dirasai dalam sebarang perlawanan melibatkan skuad bola sepak kebangsaan.

Stadium Nasional, Bukit Jalil dibanjiri lautan hitam, kuning dan biru apabila puluhan ribu peminat daripada segenap lapisan masyarakat mengisi setiap sudut stadium.

Tatkala lagu Negaraku berkumandang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, puluhan ribu penyokong bola sepak tempatan menyanyi dengan penuh semangat.

Kekalahan Malaysia kepada Singapura tidak sedikit pun menggugat kesetiaan penyokong pasu- kan negara.

Peminat wanita, Mazatul Rosidah Ahmad Tajuddin, 35, berkata, walaupun sedih, dia amat berbangga dengan persembahan skuad Harimau Malaya pada perlawanan tersebut.

"Saya akan terus setia menyokong pasukan kebangsaan. Walaupun kalah tetapi aksi mereka masih boleh dipuji," katanya.

Sebelum perlawanan bermula, perkarangan Stadium Nasional meriah dengan pelbagai ragam penyokong bola sepak tempatan, ada yang mengecat muka dengan warna hitam dan kuning sebagai tanda sokongan kepada skuad Harimau Malaya.

Masing-masing mempunyai cara sendiri menzahirkan sokongan mereka kepada skuad kebangsaan.

Di dalam stadium pula ada penyokong skuad Harimau Malaya menjulang sepanduk tertera 3-0 iaitu ramalan kemenangan pasukan negara ke atas Singapura.

Kata-kata semangat tanda sokongan tidak berbelah-bahagi sentiasa mengiringi skuad Harimau Malaya.

Setiap kali bola berada dalam kawalan pemain negara, segenap penjuru stadium bergema dengan sorakan penyokong.

Begitu juga setiap kali penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menangkis percubaan penyerang Singapura Aleksandar Duric dan Qiu Li, stadium bergema dengan sorakan penonton.

Seorang peminat, Mohd. Firdaus Ahmad, 27, berkata, suasana bola sepak negara kini mengalami suatu perubahan positif iaitu semua golongan masyarakat berminat dengan perkembangan pasukan kebangsaan.

"Kalau dulu, lelaki saja yang sembang pasal bola tetapi sekarang, perempuan pun ligat sembang pasal bola, ini satu revolusi bola sepak negara," katanya.

Walaupun wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan, Takayama Hiroyoshi dari Jepun, penyokong masih setia menunggu dan ada juga yang masih bernyanyi tanda sokongan kepada pasukan negara.

Pasukan Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal tersingkir menerusi agregat 4-6 selepas tewas 3-5 pada perlawanan pertama pusingan kedua di Singa- pura, Sabtu lalu.

Kekalahan tersebut menamatkan cabaran pasukan negara dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2014.

2 comments:

NOOR FATIN said...

teringin nak tengok bola kat stadium. hehe..

man said...

heheheh..datang je.bawa anak2 pun blh